Friday, May 29, 2015

Maafkanlah, Jauhi Marah & Dendam

ُالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحمَٰنِ الرَّحِِيم

اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ
وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّد

Dalam sebuah hadis sahih diberitakan bahawa pada suatu hari, seorang lelaki bertemu Rasulullah ﷺ . Lelaki itu berkata, "Wahai Rasulullah, berwasiatlah kepadaku." Rasulullah ﷺ kemudian berkata: "Janganlah kamu marah!" Dan Rasulullah ﷺ mengulanginya beberapa kali.

Hadis oleh Abu Hurairah itu berupa wasiat Rasulullah ﷺ  kepada umatnya agar menjauhi pelbagai penyakit hati seperti marah, dendam, iri hati, riak, takbur serta dengki sesama umat.

Terdapat dua jenis penyakit dalam tubuh manusia. Penyakit pertama, penyakit yang dapat dirasa dan dilihat pada tubuh manakala satu lagi penyakit hati yang hanya dapat dilihat melalui tindak-tanduk pelakunya.

Penyakit hati lebih berbahaya jika dibandingkan penyakit lain kerana ia akan mengganggu emosi yang akan melahirkan perasaan dendam dan sifat-sifat negatif yang lain. Mereka yang memiliki sifat seperti ini disarankan agar bersifat pemaaf kerana sifat ini membuatkan hati seseorang itu tenang, bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.

Banyak masalah berkait hubungan sesama manusia berpunca daripada sifat marah dan membalas dendam. Biarpun perselisihan kecil, namun tidak dapat diselesaikan disebabkan perasaan dendam sudah tumbuh di hati.

Sikap berdendam hanya merugikan kedua-dua pihak. Paling tertekan ialah mereka yang suka berdendam. Hatinya tidak tenteram dan sentiasa bersangka tidak baik terhadap orang lain.

Allah telah memberi peringatan agar kita memelihara perpaduan sesama umat serta menjauhkan diri daripada sebarang permusuhan dan perbalahan yang boleh mengakibatkan perpecahan dan dendam yang akan merosakkan masyarakat.

Allah berfirman dalam surah al-Anfal ayat 46 yang bermaksud: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; jika tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang bersabar."

Sehubungan itu, Rasulullah ﷺ berpesan bersandarkan hadis oleh Bukhari dan Muslim, "Usah kamu berdendam kesumat, jangan kamu berhasad dengki, jangan kamu berpaling muka, jangan kamu pulau-memulau, sebaliknya hendaklah kamu bersaudara. Adalah tidak harus bagi seseorang muslim tidak bertegur sapa dengan saudaranya melebihi tiga hari."

Untuk mengukuhkan perpaduan dan mengelakkan daripada menyimpan perasaan dendam, dalam hadis sahih Riwayat Muslim, Rasulullah ﷺ berpesan lagi, "Demi nyawaku di bawah genggaman Allah! Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman. Kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu berkasih sayang. Mahukah kamu aku tunjukkan kepada kamu akan satu perbuatan, bila kamu lakukannya kamu akan berkasih sayang iaitu ucapan salam sesama kamu."

Dalam hadis yang lain, Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ menegaskan dan berpesan, "Sebarkanlah salam, perkuatkanlah silaturahim, kasihanilah golongan fakir miskin dan jangan tinggalkan solat malam."
(Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis itu, Rasulullah ﷺ menyampaikan empat pesanan penting supaya umat Islam terus bersatu. Sekiranya kita mengamalkan empat pesanan tersebut, sudah pasti tidak akan timbul perbalahan sesama umat Islam.

Tetapi apa yang berlaku sekarang, empat pesanan itu tidak dipatuhi. Maka, tidak hairanlah perbalahan dan permusuhan terus berlarutan di kalangan sesama umat Islam. Ini kerana masing-masing membawa haluan dan pendirian masing-masing tanpa memikirkan kesatuan umat. Kesemua ini berlaku kerana ketakwaan yang lemah kepada Allah dan mengabaikan perintah Allah serta menjauhi larangan-Nya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, selamat beramal.

اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ
وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّد

No comments: