Thursday, February 4, 2010

ARAH MANA YANG HENDAK DI TUJU?

Satu soalan yang perlu kita beri perhatian adalah, “adakah anda akan mengecapi kejayaan jika sekiranya anda tidak berusaha kearah kejayaan?” Jadi ini bermaksud apabila anda mengusahakan kejayaan, sudah semestinya anda akan memperolehi kejayaan tersebut walaupun terpaksa menempuhi beberapa rintangan, kegagalan sementara sebelum itu.

Adakalanya kita tak sedar yang kita sedang mengusahakan kegagalan. Ini adalah kerana kita tidak yakin dengan usaha yang dilakukan selama ini. Mengapa kita tidak yakin? Puncanya adalah kerana kita tidak melihat kejayaan-kejayaan kecil yang kita telah capai. Kejayaan-kejayaan kecil inilah yang akan memotivasikan kita untuk mencapai kejayaan-kejayaan yang lebih besar sehinggalah apa yang kita hajati tercapai Sebarang perubahan atau pertambahan kecil yang dicapai,ini menunujukkan tanda-tanda kejayaan. Kejayaan-kejayaan kecil haruslah diambil perhatian sewajarnya kerana ini akan menambahkan lagi keyakinan terhadap apa yang anda sedang usahakan.

Tetapkan di dalam hati bahawa apapun rintangan dan halangan yang akan ditempuhi, anda tetap yakin kejayaan akan muncul di dalam hidup anda kerana kejayaan-kejayaan kecil yang telah dicapai. Alangkah ruginya sekiranya anda menyerah kalah sekiranya anda tidak mampu untuk menghadapi rintangan dan halangan setelah melihat kejayaan kecil yang anda telah dicapai. Teruskan fokus anda untuk melihat kejayaan yang lebih besar di hadapan anda.

“Seinci tindakan adalah lebih baik dari sebatu teori.”
-Friedrich Engles

Tuesday, February 2, 2010

MEMBUAT BANYAK PERKARA DALAM SATU MASA

Memang tabiat semulajadi manusia untuk menunjukkan kehebatan atau tamak dalam melakukan semua perkara dalam satu masa. Hakikatnya kemampuan manusia itu ada had dan batasannya. Kalau semua perkara hendak dibuat, yang pasti akan ada yang tak terbuat. Jangan jadi seperti bidalan, “Yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.” 

Maka marilah kita mengamalkan sikap buat sesuatu perkara itu sampai siap. “Selesaikan satu tugasan yang telah dimulakan.” Dengan menyelesaikan setiap tugasan akan dapat menambahkan keyakinan diri dan dalam masa yang sama imej diri anda akan meningkat.

Fokus anda akan hilang sekiranya melakukan banyak tugasan dalam satu masa. Ingatlah bahawa niat dan tujuan anda adalah amat penting sekali. Tujuan anda adalah untuk mencipta kejayaan, bukannya sibuk untuk mencari nama.Nama anda akan seiring dengan kejayaan yang anda telah kecapi. Yakinlah bahawa dengan kejayaan yang anda kecapi, yang lain akan datang dengan sendirinya.


“Kehebatan sebenar ialah bila anda boleh melakukan apa yang orang kata anda tidak boleh.”
-Walter Bagehot